Tuesday, April 28, 2009

Rayuan Derma Mangsa Kebakaran

Muhammad Shaiful (7 tahun), Muhammad Amirul (4 tahun) dan Muhammad Yusof (2 tahun) meninggal dunia dalam kebakaran kediaman mereka di kampung Sungai Rotan, Batu Hampar tengahari kelmarin. Ibubapa 3 beradik itu ialah pasangan suami isteri, Nordin bin Md Noor dan Mah bt Abdullah yang mendiami rumah pekerja kuari pasir di kampung ini. Ketika kebakaran, pasangan suami isteri tersebut sedang mencuci pakaian di sungai yang agak jauh dari kediaman mereka.Bapa kanak-kanak tersebut, Nordin Md Noor redha dengan ketentuan ajal anak-anaknya namun amat pilu mengenangkan hajat anak sulungnya (Muhammad Shaiful) untuk mendapat sehelai baju yang dibuat daripada bendera PAS tidak sempat ditunaikan.
Pagi tadi Shaiful minta saya dapatkan sehelai bendera PAS untuk dibuat baju. Saya dah bersetuju dan telah pun dapat sehelai bendera. Ingatkan petang tadi atau besok bolehlah dijahit baju untuk Shaiful. Tapi Allah lebih sayangkan Shaiful dan adik-adiknya. Tak sempat Shaiful dapat baju bendera PAS. Saya percaya Shaiful akan dapat pakaian yang lebih indah dalam syurga," kata Nordin dengan linangan air mata.

Menurut ibu kepada 3 beradik itu, dia dan suaminya mengunci rumah sebelum pergi ke sungai untuk mengelakkan anak-anaknya bermain di tepi lombong berdekatan rumah. Ketika itu anak bongsu mereka (Muhammad Yusof) sedang tidur dalam buaian dan diawasi oleh Muhammad Shaiful yang sudah biasa dengan rutin itu. Muhammad Shaiful ialah murid tahun 1 Sekolah Kebangsaan Batu Hampar, Beruas."Itulah saja anak kami. Tiga orang saja. Hari ini kami tak ada anak lagi dah," kata Mah Abdullah dengan sayu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Hj. Muhammad Nizar Jamaluddin datang menziarahi keluarga kanak-kanak tersebut pada pukul 6.15 petang dan kemudiannya terus ke Hospital Taiping kerana jenazah 3 beradik itu masih menjalani post-mortem di sana. Jenazah dimandikan dan dikafankan di hospital.Solat Jenazah dipimpin oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Gantang bersama kira-kira 100 orang yang hadir di Masjid Kg. Batu 26. Turut hadir ialah ahli-ahli jawatankuasa PAS Kawasan Bukit Gantang dan Kawasan Beruas.

Sementara itu Ketua Bilik Gerakan MTD Trong, saudara Zainon memberitahu bahawa bapa kanak-kanak tersebut (Nordin Md Noor) adalah petugas Pakatan Rakyat yang amat dedikasi sepanjang tempoh menjelang pilihanraya kecil Bukit Gantang baru-baru ini. Nordin menyewa rumah kecil milik kuari pasir di Kampung Sungai Rotan dengan kadar sewa RM40 sebulan. Sebelum rampasan kuasa negeri Perak, keluarga Nordin telah dipilih untuk menduduki tanah kerajaan di tepi jalan besar Kg. Batu 26. Malangnya urusan itu terhenti selepas rampasan kuasa. Kerajaan rampasan kuasa kemudiannnya berura-ura menempatkan keluarga Nordin di kawasan penempatan berhampiran Kg. Padang Gajah tetapi ura-ura itu dibatalkan apabila Nordin aktif berperanan sebagai petugas Pakatan Rakyat ketika pilihanraya kecil Bukit Gantang.

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Trong telah pun mengenalpasti tapak untuk dibina kediaman baru bagi pasangan suami isteri itu di kampung Batu Hampar sebelum kejadian hari ini. Berikutan tragedi hari ini, Pusat Khidmat telah menyediakan sebuah rumah sementara untuk didiami oleh pasangan suami isteri itu. Kos sewaan rumah itu dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Khidmat.

Pembinaan rumah baru yang dirancang oleh Pusat Khidmat sebelum ini juga akan disegerakan.Sehubungan dengan itu Pusat Khidmat Masyarakat DUN Trong merayu sumbangan kewangan daripada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin supaya pembinaan kediaman baru Nordin dan Mah dapat disempurnakan dengan segera.Sumbangan boleh dihulurkan ke Akaun Bank Islam, nombor akaun 08040010034554 atas nama PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT DUN TRONG.




Monday, April 27, 2009

Usah Ganggu Tengku Temenggong

Media usah ganggu rumahtangga Tengku Temenggong Kelantan


Salmah Mat Husain Foto Rizal Tahir Sun Apr 26, 09 6:27:52 pm MYT


KOTA BHARU, 26 April (Hrkh) - Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa berharap media tempatan dan luar negara menghentikan tindakan memburukkan rumahtangga Tengku Temenggong Kelantan.


"Ini kerana hubungan baginda dengan isterinya kelihatan sentiasa mesra sejak berkahwin tahun lalu.


"Sebelum ini pasangan diraja tersebut sering hadir pada program anjuran pihak istana dan kerajaan negeri. Jadi tidak timbul lagi ia berlaku sebagaimana dilaporkan sesetengah media sebelum ini," ujarnya pada majlis kenduri sempena perkahwinan anaknya di sini, semalam.

Tengku Muhammad Fakhry Petra bersama isteri, Cik Puan Temenggong yang berasal dari Indonesia turut berangkat ke majlis kenduri di rumah Husam di Kampung Kota kira-kira jam 1.30 petang.


Sebanyak lima ekor lembu dan tiga kambing dikorbankan bagi jamuan orang ramai yang datang bertali arus. Kenduri kesyukuran itu diadakan sempena menyambut menantu iaitu isteri kepada anak sulungnya Ahmad Syafi�, 21 - Indah Purnama Sari, 19 juga berasal dari Indonesia.
Sebelum ini ibu kepada Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot, Daisy Farajina mendakwa sebagaimana disiarkan media di Indonesia anaknya menghadapi masalah rumahtangga.


Sehubungan itu Husam yang juga Naib Presiden PAS berharap pihak tertentu supaya tidak lagi menyebar berita negatif terhadap pasangan terbabit.


"Biarkan pasangan diraja berkenaan hidup dengan aman dan melayari bahtera rumah tangga mereka tanpa campurtangan pihak lain," katanya.


Sementara itu, anak Husam dan pasangannya diijabkabul di Banten, Tangrang, Jakarta pada Disember lalu.


Indah Purnama Sari anak kedua daripada tujuh adik beradik merupakan anak kepada pegawai kerajaan Republik Indonesia, Haji Didin Solahuddin Aep Hasbuna.


Pada majlis itu Tengku Temenggong kelihatan mesra dan sesekali ketawa bersama isterinya.
Pasangan diraja itu sempat meraikan pengantin dan beramah mesra dengan Husam dan isterinya, Datin Rohana Abdul Rahman serta tetamu lain. - mj _

Berita dipetik dari Harakahdaily.net

Program Ziarah Ahli PAS


Seorang ahli Pas Taman Impian Ehsan 3 iaitu Ustaz Mat Seman(Ustaz Kamal) telah mengalami kemalangan kecil pada hari Selasa 21 April 2009. Kejadian berlaku ketika beliau beliau dan isteri Kak Rosnah balik dari kerja dengan menunggang motosikal di Cheras Jaya. Kedua-dua mereka mendapat kecederaan ringan di kaki akibat dilanggar oleh sebuah kereta.

PAS TIE3 telah membuat lawatan dan memberi sumbangan berbentuk kewangan dan buah tangan dari ahli-ahli dan sahabat handai.

Pertandingan Sepak Takraw TIE


Sunday, April 19, 2009

Maksud Penggabungan Diri Dengan PAS

Tugas pertama sebagai ahli PAS ialah memahami dasar perjuangan PAS supaya dapat dihayati dengan sepenuhnya. Adalah menjadi tanggung jaawab setiap ahli dan penyokong PAS menghayati ajaran Islam bermula dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat perlulah dilaksanakan. Perjuangan ini akan berjalan serentak dengan perjuangan PAS dalam menegakkan pemerintahan secara Islam dalam negara.

Tanggung jawab seterusnya adalah berusaha memberi apa sahaja sumbangan samada material, mental atau fizikal kepada perjuangan PAS. PAS menyediakan ruang yang luas untuk sesiapa sahaja memberi sumbangan dan sememangnya PAS amat memerlukan sumbangan tersebut.


Antara cara-cara yang boleh seseorang itu menyumbangkan tenaga kepada PAS adalah:

a) Melalui cawangan dan kawasan.
Setiap ahli hendaklah bergerak secara aktif di peringkat cawangan. Jika satu-satu tempat itu tidak mempunyai cawangan PAS maka tugas kita untuk menubuhkannya. Dengan tertubuhnya cawangan PAS maka segala aktiviti dapat dilaksanakan secara teratur. Walau bagaimanapun adalah lebih baik untuk berbincang dengan pemimpin PAS di peringkat kawasan sebelum satu-satu cawangan itu ditubuhkan. Cawangan pula itu pula mestilah digerakkan. Segala aktiviti cawangan tersebut mestilah selari dengan dasar dan tujuan PAS itu sendiri. Melalui cawangan dan kawasan inilah aktiviti tarbiyyah dan dakwah akan dapat dilaksanakan secara lebih khusus kepada masyarakat setempat.

b) Peringkat negeri.
Jika seseorang itu diperlukan atau merasakan dia boleh memberikan sumbangan di peringkat negeri maka dia hendaklah berbuat demikian. Untuk tujuan tersebut dia hendaklah mengenalpasti kebolehan dirinya dan menyumbangkan tenaganya dalam bidang tersebut.

c) Peringkat Dewan-dewan.
Dalam organisasi PAS ada tiga dewan utama yang berfungsi sebagai mekanisma sokongan penting iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Dewan-dewan ini pula ada disetiap peringkat bermula dari peringkat cawangan sampailah ke peringkat Pusat. Seseorang ahli boleh memberikan sumbangan kepada mana-mana dewan yang dirasai sesuai.

d) Peringkat Pusat.
Mungkin sumbangan kita diperlukan di peringkat PAS Pusat. Maka adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk memberikan tenaga kita di sana.

Di samping itu PAS juga ada membentuk jawatankuasa-jawatankuasa khusus bagi menangani isu-isu tertentu. Maka di sini juga sumbangan ahli amat diperlukan. PAS juga ada membentuk badan-badan profesional untuk memberi ruang kepada golongan tersebut memberikan sumbangan. PAS menerima apa sahaja bentuk sumbangan samada besar atau kecil dan PAS amat menghargai sumbangan tersebut.

Ada setengah orang cuba menjustifikasikan ketidakgabungan mereka dengan PAS adalah dengan sebab PAS tidak menyediakan ruang kerja yang sesuai kepada mereka. Itu tidak benar sama sekali. Dalam Islam tidak ada orang yang dikecualikan dari tanggung jawab. Tinggal lagi samada mereka mahu melaksanakannya atau tidak. Menjadi tanggung jawab setiap orang untuk tahu apakah tanggung jawab yang ia perlu lakukan. PAS tidak mampu untuk mendekati setiap orang. Cukup untuk mengatakan bahawa PAS amat memerlukan tenaga mereka. Apa yang perlu dilakukan adalah mengenal pasti apakah kerja yang boleh dilakukan dan bidang tugas yang manakah yang boleh diisi, kemudian tawarkan kepada PAS. Pasti ada tugas yang menunggu mereka.

Sebagai seorang ahli PAS setiap orang hendaklah menjadi organ kepada PAS. Sikap yang sepatutnya ada adalah sentiasa mencari-cari apa yang patut disumbangkan dan untuk kebaikan PAS. Walau di mana pun kita berada atau di jabatan mana mereka bekerja pasti ada sesuatu yang boleh mereka lakukan untuk menolong PAS.

Petikan dari:
Akhlak dan wala': tatacaranya dalam PAS
ILHAM;ILKV 006: Adab dan Wala' Berjemaah.

Friday, April 17, 2009

Selamat Bertugas Semula Dr Mahathir

Mahathir Juga Memulakan Semula Tugasnya
oleh MSO

SEBAIK Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-6, dan selesai menyusun nya, bekas perana menteri Mahathir Mohamad juga sudah mulai masuk 'pejabat' kenyambungkan tugasnya yang terbengkalai selama lima tahun setengah sebelum ini.

Sejak Abdullah menjadi perdana menteri Mahathir boikat pejabat tidak mahu bekerja.

Dalam laporan media hari ini, kelihatan gambar Mahathir bersama Najib melancarkan model baru kereta Proton, Ezora. Mahathir adalah penasihat Proton. Semasa bekas perdana menteri, Abdullah Badawi melancar salah satu model proton dulu beliau tidak hadir.

Sebaliknya Mahathir banyak menghadiri majlis ceramah anjuran NGO pronya dan dalam ceramah itu dihentam dan dilanyaknya Proton. Beliau banyak membela Tengku Mahaleel Pengarah Eksekutif Proton yang dipecat.

Kehadiran Mahathir meraikan Najib itu menunjukkan kegembiraan Mahathir kerana anak emasnya sudah menjadi perdana menteri.

Paling menggembirakan lagi Mahathir ialah apabila Najib 'bersetuju' melantik anaknya Mukhriz Mahathir sebagai timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Perlantikan itu sebagai jalan awal dan pusat latihan kepada Mukhriz dalam persiapan menjadi perdana menteri ke 8 atau pun ke tujuh selepas Hishamuddin Hussein.

Selepas ini Mahathir akan lebih rajin lagi untuk 'memasuki' pejabat dalam menjalankan kerja dan misi politiknya yang tidak akan berakhir itu. Hari ini apa yang disembunyikan Mahathir selama ini sudah pun terdedah. Mukhriz semasa kempen pertandingan pemuda menyatakan tidak berhajat kepada apa-apa jawatan sebaliknya ingin berkhidmat kepada parti.

Hari ini yang akan berkhidmat dan bertungkus lumus kepada parti turun ke kampung mendekati pemuda ialah Khairy Jamaluddin, manakala Mukhriz sudah tentu akan bertungkus lumus menguruskan soal-soal AP seperti mana yang dibayangkan oleh bapaknya, Mahathir bin Mohamad.
Mukhriz akan sibuk melayan para pelabor asing yang ingin melabor di negara ini.
Kepada Mahathir diucapkan selamat bertugas semula!
Dipetik dari blog mso.

Thursday, April 16, 2009

Progrem Ziarah

Pada 12 April 2009 yang lepas iaitu pada hari Ahad malam Isnin, Pas TIE3 telah mengadakan program ziarah di kawasan kejiranan Apartment Zapin.

Pihak AJK Pas TIE3 telah mengunjungi rumah saudara Mat Nor di Apartment Zapin dimana isteri beliau menghidapi penyakit buah pinggang yang serius.


Pihak Pas TIE3 telah menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas berbentuk wang pada beliau bagi meringankan beban untuk membiayai perubatan isteri beliau.


Kepada sesiapa yang ingin menderma bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi saudara Mohd Yusof Moksin di talian 012 3690750.


Usrah Bulanan

Salam untuk semua Ahli dan AJK PAS Taman Impian Ehsan 3,

Program usrah bulanan PAS TIE 3 akan diadakan pada 29 April 2009 bertempat di rumah saudara Mohd Yusof Moksin selepas waktu Isyak.

Semua dijemput hadir.

Sekian.

Monday, April 6, 2009

Kewajipan Mentaati Pemimpin

Sebagai renungan untuk semua mengenai kewajipan setiap manusia untuk mentaati pemimpin-pemimpin mereka. Cuba kita perhatikan firman Allah swt dalam Surah An-Nisa' ayat 59 dalam Al-Quran yang bermaksud;

" Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, dan taatilah Rasul dan ulil amri di kalangan kamu, jika kamu berselisih dengan sesuatu perkara, maka kembalilah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat, yang demikian itu lebih utama dan lebih baik kesudahannya".

Dari ayat tersebut dapat disimpulkan bahawa kita sebagai hamba yang beriman hendaklah sentiasa taat kepada Allah swt dan Rasulullah saw dalam setiap perkara yang dilalui dalam hidup ini. Dan sememangnya sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan juga dalam kehidupan bermasyarakat akan sentiasa berlaku perselisihan pendapat sesama kita, maka itulah kita dianjurkan supaya kembali kepada Allah dan Rasul iaitu merujuk kepada kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw.

Begitu juga sebagai rakyat kita hendaklah mentaati pemimpin selagi ianya tidak mengarah kepada melakukan maksiat. Perhatikan satu hadith Nabi S.A.W. berkenaan kewajipan mentaati pemimpin yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud;

"Dengar dan taat adalah menjadi wajib kepada setiap muslim dalam perkara ia suka ataupun tidak, selagi ia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat".

Kalau kita telusuri kisah-kisah sahabat terutama Saidina Abu Bakar r.a. semasa beliau diangkat menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah saw; beliau menyeru kepada semua muslimin dan muslimat agar mentaati beliau selagi beliau mentaati Allah dan Rasul saw. Begitu juga dengan Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal dengan kezuhudan dan kesetiaan beliau terhadap Rasulullah saw, juga berpesan kepada seluruh umat Islam tatkala beliau dilantik sebagai khalifah kedua selepas Abu Bakar As-Siddiq supaya menegor beliau sekiranya beliau melakukan kesalahan. Maknanya beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak mentaati beliau sekiranya beliau membuat kesalahan. Begitulah tinggi dan mulianya jiwa seorang pemimpin Islam yang sanggup menerima kritikan dan teguran daripada rakyatnya sendiri tanpa merendahkan darjatnya sedikitpun.

Sebagai renungan buat semua, kita sebagai rakyat yang mempunyai akal yang sempurna perlu memilih pemimpin yang betul-betul dapat memimpin kita bukan sahaja di dunia malahan juga pemimpin di akhirat. Pemimpin perlu bertanggung jawab terhadap rakyat yang dipimpin begitu juga rakyat pun mempunyai tanggung jawab dalam mentaati pemimpin.

Wallahu a'lam.

Wednesday, April 1, 2009

Usrah bulanan

Pas cawangan Taman Impian Ehsan 3 telah mengadakan usrah bulanan yang pertama pada 27 Mac 2009. Usrah tersebut diketuai oleh Tuan Hj Razali iaitu YDP Pas kawasan Hulu Langat merangkap Imam 1 Masjid Nurul Ehsan Hulu Langat.

Usrah diadakan di rumah Ketua Pemuda PAS TIE3 , Saudara Ghazari beralamat no. 56, Jalan Karunmas 7, Taman Desa Karunmas.

Pada usrah kali ini telah dimulai dengan acara taaruf iaitu suai kenal ahli-ahli jemaah. Kehadiran hanyalah 11 orang terdiri daripada ahli jawatankuasa pas cawangan. Tuan Hj. Razali mengingatkan pentingnya usrah kerana ia dapat menguatkan parti di peringkat akar umbi. Perlu diadakan secara berkala iaitu mingguan ataupun bulanan.

Majlis ditamatkan pada pukul 10 malam dengan diakhiri dengan sedikit jamuan ringan.

Usrah berikutnya akan diadakan pada 24/4/09 di rumah Saudara Mohd Yusoff Moksin ,Ketua Cawangan Pas TIE3.