Monday, April 6, 2009

Kewajipan Mentaati Pemimpin

Sebagai renungan untuk semua mengenai kewajipan setiap manusia untuk mentaati pemimpin-pemimpin mereka. Cuba kita perhatikan firman Allah swt dalam Surah An-Nisa' ayat 59 dalam Al-Quran yang bermaksud;

" Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, dan taatilah Rasul dan ulil amri di kalangan kamu, jika kamu berselisih dengan sesuatu perkara, maka kembalilah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat, yang demikian itu lebih utama dan lebih baik kesudahannya".

Dari ayat tersebut dapat disimpulkan bahawa kita sebagai hamba yang beriman hendaklah sentiasa taat kepada Allah swt dan Rasulullah saw dalam setiap perkara yang dilalui dalam hidup ini. Dan sememangnya sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan juga dalam kehidupan bermasyarakat akan sentiasa berlaku perselisihan pendapat sesama kita, maka itulah kita dianjurkan supaya kembali kepada Allah dan Rasul iaitu merujuk kepada kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw.

Begitu juga sebagai rakyat kita hendaklah mentaati pemimpin selagi ianya tidak mengarah kepada melakukan maksiat. Perhatikan satu hadith Nabi S.A.W. berkenaan kewajipan mentaati pemimpin yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud;

"Dengar dan taat adalah menjadi wajib kepada setiap muslim dalam perkara ia suka ataupun tidak, selagi ia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat".

Kalau kita telusuri kisah-kisah sahabat terutama Saidina Abu Bakar r.a. semasa beliau diangkat menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah saw; beliau menyeru kepada semua muslimin dan muslimat agar mentaati beliau selagi beliau mentaati Allah dan Rasul saw. Begitu juga dengan Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal dengan kezuhudan dan kesetiaan beliau terhadap Rasulullah saw, juga berpesan kepada seluruh umat Islam tatkala beliau dilantik sebagai khalifah kedua selepas Abu Bakar As-Siddiq supaya menegor beliau sekiranya beliau melakukan kesalahan. Maknanya beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak mentaati beliau sekiranya beliau membuat kesalahan. Begitulah tinggi dan mulianya jiwa seorang pemimpin Islam yang sanggup menerima kritikan dan teguran daripada rakyatnya sendiri tanpa merendahkan darjatnya sedikitpun.

Sebagai renungan buat semua, kita sebagai rakyat yang mempunyai akal yang sempurna perlu memilih pemimpin yang betul-betul dapat memimpin kita bukan sahaja di dunia malahan juga pemimpin di akhirat. Pemimpin perlu bertanggung jawab terhadap rakyat yang dipimpin begitu juga rakyat pun mempunyai tanggung jawab dalam mentaati pemimpin.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment