Sunday, April 19, 2009

Maksud Penggabungan Diri Dengan PAS

Tugas pertama sebagai ahli PAS ialah memahami dasar perjuangan PAS supaya dapat dihayati dengan sepenuhnya. Adalah menjadi tanggung jaawab setiap ahli dan penyokong PAS menghayati ajaran Islam bermula dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat perlulah dilaksanakan. Perjuangan ini akan berjalan serentak dengan perjuangan PAS dalam menegakkan pemerintahan secara Islam dalam negara.

Tanggung jawab seterusnya adalah berusaha memberi apa sahaja sumbangan samada material, mental atau fizikal kepada perjuangan PAS. PAS menyediakan ruang yang luas untuk sesiapa sahaja memberi sumbangan dan sememangnya PAS amat memerlukan sumbangan tersebut.


Antara cara-cara yang boleh seseorang itu menyumbangkan tenaga kepada PAS adalah:

a) Melalui cawangan dan kawasan.
Setiap ahli hendaklah bergerak secara aktif di peringkat cawangan. Jika satu-satu tempat itu tidak mempunyai cawangan PAS maka tugas kita untuk menubuhkannya. Dengan tertubuhnya cawangan PAS maka segala aktiviti dapat dilaksanakan secara teratur. Walau bagaimanapun adalah lebih baik untuk berbincang dengan pemimpin PAS di peringkat kawasan sebelum satu-satu cawangan itu ditubuhkan. Cawangan pula itu pula mestilah digerakkan. Segala aktiviti cawangan tersebut mestilah selari dengan dasar dan tujuan PAS itu sendiri. Melalui cawangan dan kawasan inilah aktiviti tarbiyyah dan dakwah akan dapat dilaksanakan secara lebih khusus kepada masyarakat setempat.

b) Peringkat negeri.
Jika seseorang itu diperlukan atau merasakan dia boleh memberikan sumbangan di peringkat negeri maka dia hendaklah berbuat demikian. Untuk tujuan tersebut dia hendaklah mengenalpasti kebolehan dirinya dan menyumbangkan tenaganya dalam bidang tersebut.

c) Peringkat Dewan-dewan.
Dalam organisasi PAS ada tiga dewan utama yang berfungsi sebagai mekanisma sokongan penting iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Dewan-dewan ini pula ada disetiap peringkat bermula dari peringkat cawangan sampailah ke peringkat Pusat. Seseorang ahli boleh memberikan sumbangan kepada mana-mana dewan yang dirasai sesuai.

d) Peringkat Pusat.
Mungkin sumbangan kita diperlukan di peringkat PAS Pusat. Maka adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk memberikan tenaga kita di sana.

Di samping itu PAS juga ada membentuk jawatankuasa-jawatankuasa khusus bagi menangani isu-isu tertentu. Maka di sini juga sumbangan ahli amat diperlukan. PAS juga ada membentuk badan-badan profesional untuk memberi ruang kepada golongan tersebut memberikan sumbangan. PAS menerima apa sahaja bentuk sumbangan samada besar atau kecil dan PAS amat menghargai sumbangan tersebut.

Ada setengah orang cuba menjustifikasikan ketidakgabungan mereka dengan PAS adalah dengan sebab PAS tidak menyediakan ruang kerja yang sesuai kepada mereka. Itu tidak benar sama sekali. Dalam Islam tidak ada orang yang dikecualikan dari tanggung jawab. Tinggal lagi samada mereka mahu melaksanakannya atau tidak. Menjadi tanggung jawab setiap orang untuk tahu apakah tanggung jawab yang ia perlu lakukan. PAS tidak mampu untuk mendekati setiap orang. Cukup untuk mengatakan bahawa PAS amat memerlukan tenaga mereka. Apa yang perlu dilakukan adalah mengenal pasti apakah kerja yang boleh dilakukan dan bidang tugas yang manakah yang boleh diisi, kemudian tawarkan kepada PAS. Pasti ada tugas yang menunggu mereka.

Sebagai seorang ahli PAS setiap orang hendaklah menjadi organ kepada PAS. Sikap yang sepatutnya ada adalah sentiasa mencari-cari apa yang patut disumbangkan dan untuk kebaikan PAS. Walau di mana pun kita berada atau di jabatan mana mereka bekerja pasti ada sesuatu yang boleh mereka lakukan untuk menolong PAS.

Petikan dari:
Akhlak dan wala': tatacaranya dalam PAS
ILHAM;ILKV 006: Adab dan Wala' Berjemaah.

No comments:

Post a Comment